Monday, June 18, 2012

PIDATO 1 MALAYSIA

PENDIDIKAN WADAH PERPADUAN NEGARA



Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di rumpun buluh
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah menyusun jari sepuluh

Hadirnya hamba kasih terbentang
Berdiri teguh bangsa dijulang
Hakikat hidup bukan kepalang
Untuk mencari perpaduan terbilang


Sejak dahulu kala bangsa kita terus diperkosa, oleh penjajah yang tamak haloba. Kita dilagakan hingga terjadi pergaduhan. Kita dipisah sehingga terjadi pertumpahan darah. Perpaduan yang kita impikan, semuanya menjadi tak keruan. Penyatuan kaum yang kita rancang, semuanya terus hilang. Disebabkan inilah, saya bangkit melangkah dan berdiri di hadapan anda sebagai pahlawan yang gagah. Bukan niat saya bediri di sini untuk menyanyi atau menari, bukan niat saya untuk mereka jenaka yang tak seberapa dan bukan juga niat saya berdiri di sini untuk berkempen demi pilihan raya. Mari kita berdendang, wadah perpaduan kita perdengarkan, mengikut gerak lagu mesra dialunkan, tanda permuafakatan membawa penyatuan. Gelanggang bicara saya buka, Pendidikan Wadah Perpaduan Negara. Salam aspisriasi seharum kasturi, salam sejahtera sejambak kenanga buat tuan penerahu acara. Barisan respektatif intelektual berkarisma, penjaga masa yang sentiasa setia serta sidang hadirin pencetus minda.



Sidang Dewan Sekalian,
            Kamus dewan edisi keempat dengan jelas mendefinisikan pendidikan sebagai perihal mendidik atau ilmu didik. Wadah dijelaskan sebagai medan atau saluran. Perpaduan pula diungkapkan sebagai penggabungan atau berpadu menjadi satu. Manakala negara dirujuk sebagai masyarakat yang menduduki kawasan yang diperintah oleh sesebuah kerajaan. Pendidikan wadah perpaduan negara mengajak dan mendesak kita untuk menilai dan merungkai bagaimana pendidikan dapat menjadi saluran menggabungkan masyarakat yang dimulakan dengan sejarah pendidikan, pemerkasaan bahasa melayu, sistem pendidikan, program pendidikan dan kouta pengambilan pelajar ke universiti. Kelima-lima entiti inilah menjadi pembawaan kepada pidato saya hari ini.

Hadirin sekalian,
            Jika kita singkap sejarah silam, memang terbukti yang pendidikan amat berperanan dalam penyatuan bangsa. Berpaksikan kata kunci sejarah pendidikan negara saya bawakan entiti pidato saya yang pertama. Dek kerakusan penjajah menguasai wilayah, bangsa kita dipecah-pecah. Setiap jenis sekolah dikhususkan mengikut kaum dan dibezakan mengikut kurikulum. Tidak cukup dengan itu, bahasa penghantar dijadikan berlainan, lokasi sekolah setiap kaum dibiarkan berjauhan agar kita terus tidak sehaluan. Namun bak kata orang tua-tua, langit tak semestinya sentiasa cerah. 1956, titik tolak pendidikan bermula ke arah pemupukan perpaduan. Disebabkan kepintaran mantan Perdana menteri kita yang kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang juga merupakan Menteri Pelajaran pada masa itu, terbentuklah Jawatankuasa Pelajaran yang dikenali sebagai Penyata Razak 1956. Keunggulan Penyata Razak mula terserlah kerana telah menemui formula perpaduan kaum sebelum merdeka lagi. Berbekalkan matlamat mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai 1 rumupun bangsa di Tanah Melayu dan mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan, nyata-nyata Penyata Razak menampakkan hasil apabila wujud sistem pendidikan kebangsaan dan sistem peperiksaan yang sama telah diterapkan. Proses ini tidak berhenti begitu sahaja dan diteruskan lagi dengan wujudnya Laporan Rahman Talib dan pemerkasaan Akta pelajaran 1961 yang memberi penegasan kepada kurikulum ala Malaysia yang menghendaki setiap pelajar mengenali aspek budaya negara. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan termaktubnya Laporan kabinet 1979 dan rang undang-undang pendidikan 1995 yang turut menekankan prinsip yang sama dan membawa kepada penyatuan bangsa.

Sidang Dewan,
            Sejajar denga pengiktirana bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, secara tidak lengsung ia memainkan peranan dalam proses perpaduan. Peranan bahasa melayu, kata kunci saya yang kedua. Lihat sahaja intipati dalam Dasar pendidikan negara, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan terus diperkasa. Dalam stratergi perlaksanaannya, bahasa Melayu digunakan di seluruh negara agar komunikasi rakyat berjaya. Apabila komunikasi berjaya melalui penggunaan satu bahasa, bangsanya merdeka. Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa Lingua Franca sejak zaman kesultanan Melayu Melaka yang banyak digunakan dalam perdagangan dan hubungan diplomatik antarabangsa. Kini bahasa melayu melebarkan sayapnya ke arah bidang pendidikan secara lebih mendalam. Buktinya yang jelas ialah dengan adanya pertandingan syarahan dan Ujian bertulis (PBSUB) bagi SJKC dan SJKT. Hal ini membuktikan dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan dalam dunia pendidikan, jelas rakyat Malaysia bersatu dan dapat memupuk nilai perpaduan. Kita lihat sendiri ketika ini di sekolah-sekolah, tanpa ada resah dan gelisah para pelajar tanpa mengira bangsa dan agama, bertutur dalam bahasa Melayu dengan mudah dan petah. Betapa besar peranan bahasa Melayu dalam dunia pendidikan dalam usaha menyemai semangat perpaduan. Perlaksanaan Dasar bahasa kebangsaan, ordinan pelajaran 1957, Falsafah Pendidikan kebangsaan 1983 dan beberapa penyata serta akta pendidikan yang lain telah membolehkan semua kaum berkomunikasi secara berkesan menggunakan bahasa Melayu. Galakan ini diberikan pada para pelajar kerana mereka adalah aset negara yang amat berharga, yang bakal menjadi tonggak pimpinan negara untuk memacu wawasan yang berjaya. Andai mereka kini mereka berpecah-belah, negara kita punah ranah. Andai kini mereka tidak bersatu padu, wawasan 2020 menjadi abu.
Hadirin sekalian,
            Secara analoginya, sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami perubahan sejak dari zaman sebelum merdeka hinggalah kini. Pengenalan satu sistem pendidikan bercorak kebangsaan merupakan wadah mengeratkan hubungan kaum agar kita terus sehaluan. Berpaksikan kata kunci sistem pendidikan, saya bawakan kepada anda entiti saya yang ketiga. Melalui sistem pendidikan yang sama, pelajar daripada pelbagai kaum akan belajar dan berinteraksi bersama secara tidak langsung akan menggalakkan proses perpaduan sesama mereka. Kementerian pelajaran juga telah memperkenalkan sekolah wawasan yang menempatkan tiga aliran pendidikan, iaitu kebangsaan , Cina dan India dalam satu kawasan. Interaksi antara 3 aliran pendidikan ini akan memperkasa hubungan antara kaum melalui pergaulan, proses pengajarn dan pembelajaran dan yang paling utama sikap tolenrasi di alam persekolahan. Datuk Mukhriz Tun Mahathir, mencetuskan antara punca kita gagal membentuk perpaduan kaum yang tulen adalah disebabkan sistem pendidikan kita yang beraneka corak mengikut bangsa.cadangan Datuk Mukhriz ini dilihat seiringan dengan laporan Jawatankuasa Barnes 1951 dan Laporan Penyata Razak 1956. Malah tokoh-tokoh pendidikan seperti Aminuddin Baki dan Tan Sri Ainuddin Wahid juga bersetuju agar sistem pendidikan negara digembleng menjadi satu jenama bagi mengelakkan kepelbagaian warna kurikulum di sekolah-sekolah seluruh negara. Hal ini kerana institusi persekolahan dianggap medan perhimpunan bagi para pelajar menyemai semangat perpaduan. Kita sedia maklum untuk membuat satu perubahan dalam sistem pendidikan yang sedia ada bukanlah satu kerja mudah. Namun kita harus tahu, perubahan ini adalah demi matlamat yang satu, ke arah penyemaian benih-benih perpaduan untuk jangkas masa panjang agar bangsa kita terus bersatu.

Sidang Pendengar Budiman,
            Ramuan perpaduan kaum bukan sahaj melibatkan institusi persekolahan dan aktiviti pembelajaran namun turut disumbangkan dengan penganjuran pelbagai program pendidikan, entiti pidato saya yang keempat. Contoh yang jelas lagi bernas Program Pendidikan Prasekolah diselitkan satu program yang dinamakan Tabika Perpaduan. Program yang diperkenalkan pada tahun 1976 ini merupakan program yang disediakan untuk penyertaan kanak-kanak berbilang kaum yang berumur 5-6 tahun. Objektifnya mudah saja, membolehkan kanak-kanak berbilang kaum menghayati nilai-nilai hidup bermasyarakat dan membentuk anak-anak yang memahami adat dan budaya setiap bangsa. Kanak-kanak yang masih bersih pemikirannya harus disogokkan dengan kemahiran, ilmu pendidikan dan kaedah berinteraksi secara tepat agar di masa hadapab mereka tidak bercanggahan pendapat. Pemupukan semangat perpaduan ini dalam bidang pendidikan tidak terhenti separuh jalan. Pemerkasaan diteruskan dengan wujudnya Program RIMUP atau Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan. Disebabkan wujudnya kesedaran bahawa perpaduan tonggak kekuatan dan kstabilan, program RIMUP telah diwujudkan untuk memupuk dan menyemai sikap bersatu padu dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah lagi. Peranan RIMUP dalam penyatuan bangsa dalam kalangan anak muda jelas sekali apabila ia dimasukkan dalam Teras 1 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia (PIPP) iaitu membina negara bangsa. Sesungguhnya negara bangsa tidak dapat dicapai, andai tidak wujud persefahaman, permuafakatan, perpaduan dan semua ini harus bermula daripada 1 tapak yang dinamakan pendidikan. Apa yang jelas di sini, kedua-dua program ini menyumbang kepada perkongsian budaya dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Hadirin yang dihormati sekalian,
            Telah kita tinjau sejarah lampau, kita sapa penggunaan bahasa, kita teruskan dengan sistem pendidikan, tidak cukup dengan itu saya canangkan pula program pendidikan negara. Kini saya bawa anda semua untuk melihat kouta pengambilan pelajar ke universiti yang juga merupakan entiti pidato saya yang kelima. Di sini saya mengambil contoh Universiti Malaya pada kemasukkan pelajar sesi 2002 / 2003, sistem kouta telah dihapuskan dan diganti dengan satu sistem baru yang bernama sistem meritoktrasi. Penghapusan sistem kouta bukan bermakna hak bumiputera tidak dijaga. Namun jika kita lihat dari segi rasionalnya, penghapusan sistem kouta adalah untuk menyeimbangi peluang pendidikan antara rakyat berbilang bangsa di Malaysia. Tidak dapat dinafikan dengan terbukanya peluang pendidikan yang sama, semangat perpaduan dapat dijana melalui pergaulan pelajar berbilang bangsa semasa mereka menuntut imu di dada. Sikap toleransi ke arah pemupukan perpaduan dalam dunia pendidikan terus gah apabila jumlah biasiswa atau pinjaman pelajar bukan bumiputera dinaikkan daripada 10% kepada 45% mulai tahun 2008. Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan melalui pendidikan berusaha untuk menyemai nilai perpaduan agar tiada pelajar yang berasa dipinggirkan kerana mereka inilah titik permulaan kepada sebuah kejayaan.

            Akhir kata, slogan pendidikan untuk perpaduan sudah lama dijaja oleh ahli akademik, tokoh-tokoh pendidikan dan pencinta perpaduan. Ia bukanlah satu sitilah yang sukar untuk diberiakan pengertian atau untuk diperbahaskan. Malah ia tidak memerlukan seminar atau forum yang menghimpunkan para ilmuan khusus untuk menobatkan kepentingan pendidikan bagi membenihkan perpaduan. Andai ada orang bertanya, bagaimana perpaduan mampu dijana? Jawapannya mudah saja iaitu, pendidikan, sebuah lagu yang telah lama kita nyanyikan, menjadi benih kasih dan impian, penjana perpaduan teras kejayaan. Ayuh, sayak ajak anda semua yang berada di hadpaan saya, sama-sama kita makmurkan bumi bertuah, negara kia merdeka kekal muhibbah, kita genggam erat pendidikan sebagai wadah perpaduan, bersama menuju destinasi kegemilangan.

Sekian, Nahkoda IPSAH, anak kebanggan bumi bertuah...Mohon mengundur diri

1 comment: